SOALAN
Perlukah saksi apabila si suami ingin menjatuhkan talak. Sila terangkan mengikut pandangan Islam. Contohnya, pertengkaran berlaku di antara suami isteri dan tanpa disedari sisuami terlepas talak tanpa pengetahuan sesiapa.Bagaimanakah hubungan mereka pada masa itu dan selama-lamanya.
JAWAPAN
Assalamualaikum,
Talak ertinya menceraikan isteri dengan ucapan tertentu dan yang seumpama dengannya. Kuasa talak jatuh di tangan suami, bukan isteri. Dan, ia tidak memerlukan saksi.
Ia boleh dibahagi kepada dua iaitu talak yang jelas (sorih) dan talak yang samar (kinayah). Contoh talak yang jelas ialah ucapan "Aku ceraikan kau dengan talak satu". Samada isteri tidak setuju dan suami tidak sengaja, talak tetap jatuh kerana sebutannya jelas.
Talak yang samar ialah seperti ucapan suami "Keluarkan kau dari rumah ni..akau tak nak tengok muka kau lagi!". Dalam hal ini, talak tersebut bergantung kepada niat sebenar si suami. Sekiranya suami hanya terlalu marah dan tidak langsung terlintas dan berniat sesuatu yang membawa maksud cerai, maka ikatan perkahwinan mereka masih lagi sah di sisi syarak.
Dalam konteks sistem pentadbiran undang-undang di Malaysia, suami yang menceraikan isterinya di luar Mahkamah akan dikenakan denda. Walaubagaimanapun, cerai tersebut jika benar-benar berlaku tetap sah di sini Syarak.
Ini bererti mereka tidak lagi boleh hidup sebumbung sehinggalah suami merujuk kembali kepada isteri dalam tempoh iddah atau berkahwin semula dengan isteri jika habis iddahnya iaitu 3 kali suci.
Peringatan: Suami hanya boleh merujuk isterinya kembali sebanyak 2 kali kerana peruntukan talak hanyalah 3 kali.
|